Friday, August 27, 2010

PERUTUSAN Y.BHG. TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD. DOM
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
BERSEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-53 TAHUN 2010

Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Sempena Hari Kemerdekaan ke-53, marilah kita memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat-Nya kita dapat menyambut hari kemerdekaan. Tema sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini ialah 1Malaysia: Menjana Transformasi. Maka perpaduan kaum adalah penting untuk membina sebuah negara bangsa yang aman dan sejahtera.

Perpaduan yang kita kecapi ini tidak ternilai harganya bagi memastikan pembangunan modal insan yang kamil dan seimbang. Kementerian Pelajaran Malaysia sedang berusaha melaksanakan transformasi kurikulum kebangsaan yang menuntut guru-guru menyesuaikan diri dengan perubahan baharu itu bagi merealisasikan hasrat murni tersebut. Transformasi kurikulum kebangsaan bermatlamat untuk melahirkan insan yang berilmu, berkualiti dan berketerampilan dalam apa-apa bidang sekalipun demi pembangunan bangsa dan negara. Kelahiran modal insan yang cemerlang menuntut kerjasama dan persefahaman antara pendidik dengan anak didik. Oleh hal yang demikian, guru selaku pendidik yang berwibawa perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran terkini. Anak didik pula perlu lebih berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan. Kecemerlangan yang kita raih berupaya melahirkan modal insan yang memiliki minda kelas pertama yang dapat meneruskan kegemilangan bangsa setelah 53 tahun negara kita mencapai kemerdekaan.

Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang merupakan transformasi dalam sistem pendidikan negara. Sesungguhnya dasar pendidikan negara kita berpandukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat untuk melahirkan insan yang kamil dan seimbang. Justeru dalam mencapai matlamat melahirkan modal insan yang akan mengisi keperluan untuk memajukan ekonomi negara pada masa hadapan, kita bukan sahaja menekankan aspek penguasaan ilmu dan kemahiran tetapi juga keterampilan dan keperibadian insan yang mulia. Oleh itu, murid-murid perlulah berusaha untuk menjadi pelajar yang mampu menghadapi cabaran transformasi ini. Seterusnya YAB Perdana Menteri Malaysia menjadikan perluasan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan sebagai salah satu daripada enam bidang yang terkandung dalam NKRA. Pengenalan NKRA Pendidikan ialah sebahagian daripada proses transformasi dalam sistem pendidikan negara yang akan melonjakkan lagi kecemerlangan pendidikan di negara ini yang meliputi kawasan bandar mahupun luar bandar . Dengan langkah ini, sistem pendidikan di negara kita akan terus berkembang dan memberikan keuntungan kepada rakyat Malaysia. Seperkara lagi, pada akhir tahun 2012, Kementerian Pelajaran Malaysia ingin memastikan semua murid normal boleh menguasai asas kemahiran literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah, memperbanyak sekolah berprestasi tinggi dan memperkenalkan tawaran baru (bai’ah) kepada pemimpin sekolah dengan hasrat untuk meningkatkan profesionalisme dalam pengurusan dan kecemerlangan sekolah. Program LINUS dilaksanakan dengan membawa niat murni Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memastikan pendidikan yang diberikan menerusi sistem sedia ada mampu menjadikan kanak-kanak di negara ini, menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira dalam tempoh tiga tahun selepas memasuki gerbang persekolahan sekolah rendah.

Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi,

Sebagai pewaris kepimpinan negara, murid-murid perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu yang berfaedah dan mengelakkan diri daripada gejala sosial. Murid-murid perlu berfikiran positif dan memperkasakan jati diri bagi menjamin kecemerlangan hidup pada masa depan. Justeru, peranan guru adalah untuk memastikan murid-murid berakhlak mulia dan mempunyai sahsiah diri terpuji. Keunggulan diri murid-murid ini dapat menghindarkan murid-murid daripada terjebak dalam gejala sosial yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Di samping itu, semangat patriotik juga mesti dipupuk sejak murid-murid di sekolah rendah lagi. Saya berharap agar perpaduan kaum dapat disemai dalam jiwa anak didik kita melalui bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Oleh itu, kita perlu memartabatkan bahasa Melayu kerana bahasa pakaian bangsa. Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan badan utama yang memainkan peranan yang amat penting dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Bertitik tolak daripada hal tersebut, kita perlu bekerja keras bagi mempersadakan bahasa Melayu ke mercu dunia. Pencapaian yang cemerlang oleh murid-murid memerlukan pembacaan yang luas. Membaca jambatan ilmu, maka murid-murid perlu memupuk sikap suka membaca pada diri masing-masing kerana bangsa membaca, bangsa berjaya. Hal ini bermakna guru selaku pendidik juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan mempunyai pemikiran yang kreatif serta inovatif. Sebagai guru, mereka berupaya menterjemah idea di sebalik transformasi kurikulum nasional bergagaskan konsep 1Malaysia kepada amalan pengajaran yang lebih bermakna di kelas agar anak didik berada dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Menyedari minat membaca murid semakin bertambah, Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan Program Kem Membaca 1Malaysia sebagai kesinambungan program NILAM yang dijalankan dengan bermatlamat memupuk semangat membaca bagi melahirkan rakyat Malaysia yang progresif dan dinamik. Kerajaan mahu merealisasikan hasrat negara sebagai negara maju seiring dengan pembangunan minda masyarakatnya tanpa mengira kaum dan geografi tempat tinggal mereka.

Secara umumnya dalam pendidikan rendah dan menengah, bidang pendidikan mencakupi kurikulum dan kokurikulum amat penting dan mestilah seiring bagi mengembangkan idea dan pemikiran pelajar. Badan yang cergas dan otak yang cerdas, memerlukan kepintaran intelek, kebolehan memimpin, bekerjasama dan sabar menghadapi cabaran hidup. Seterusnya aktiviti kokurikulum ini memberikan peluang kepada pelajar untuk terus bergiat dalam sukan dan sememangnya ini menyumbang 10 peratus untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi pelajar sekolah menengah dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi sekolah rendah. Usaha ini dapat mengurangkan masalah salah laku dalam kalangan murid apabila mereka aktif bersukan.

Warga sekolah yang dikasihi,

Pendidikan alam sekitar merupakan tanggungjawab guru dalam melahirkan murid yang cinta akan anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya. Kemerdekaan yang kita kecapi tidak akan sempurna sekiranya alam sekitar tercemar. Oleh itu, guru haruslah memikul amanah bagi melahirkan murid yang cinta akan alam sekitar. Hal ini demikian kerana mereka merupakan aset negara pada masa hadapan. Maka didiklah mereka untuk mencintai alam sekitar yang semakin tercemar supaya kita terhindar daripada bencana alam. Kita perlu bersama-sama berusaha untuk memelihara alam ciptaan Tuhan supaya menjadi warisan untuk generasi akan datang. Tema 1Malaysia: Menjana Transformasi diharapkan menjadi penyemarak semangat kepada semua warga pendidik dan murid untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan dapat mengeratkan hubungan antara kaum, bagai aur dengan tebing. Maka kerjasama dan sikap saling menghormati antara semua kaum di Malaysia perlu dikekalkan supaya negara akan sentiasa aman, damai dan harmoni. Marilah kita bersama-sama menghayati tema kemerdekaan dengan penuh kesedaran demi negara kita yang tercinta. Saya berdoa agar nikmat kemerdekaan yang kita kecapi akan berterusan.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN NEGARA YANG KE- 53.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 
Putrajaya 31 Ogos 2010

0 comments:

Post a Comment