Berita Harian bertarikh 30 Julai 2010 – PROGRAM NILAM PATUT DIMANTAPKAN
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “M Jasni Majed, Bukit Kapar, Selangor, dalam ruangan Surat Kepada Pengarang akhbar Berita Harian bertarikh 30 Julai 2010 – “Program NILAM patut dimantapkan”. PROGRAM NILAM NILAM terbahagi kepada dua tahap iaitu Tahap Jauhari dan Rakan Pembaca. Tahap Jauhari menggalakkan murid banyak membaca iaitu murid sekolah rendah membaca dari 90 buah buku hingga ke 360 buku ke atas dan murid sekolah menengah pula digalakkan membaca dari 72 buah buku hingga 288 buah buku ke atas. Jumlah buku dikira secara kumulatif dari murid mula bersekolah (di Tahun 1-6 dan Tingkatan 1-5) dan catatan buku yang dibaca hendaklah disimpan di dalam Buku Rekod Bacaan. Rekod Bacaan ini perlu disahkan oleh guru (sama ada guru kelas atau mata pelajaran) dan sekolah wajar memberikan pengiktirafan kepada murid. Apabila aktiviti galakan membaca diberi pengiktirafan dan dipiawaikan melalui NILAM, masyarakat akan dimaklumi tentang klasifikasi pengiktirafan ini. Penganugerahan ini akan menjadi satu aset dan pemangkin budaya suka membaca. Antara ganjaran yang diperolehi murid adalah:
Sementara Rakan Pembaca pula memerlukan murid menjalankan aktiviti yang boleh menggalakkan orang lain membaca seperti aktiviti Bercerita, Sketsa dan Drama dari petikan buku, memberi Ulasan Buku, meminjamkan satu buku kepada lima orang, Forum atau Diskusi Buku dan membacakan buku kepada penonton. Murid yang sudah membaca lebih dari 100 buah buku dan mereka layak dipilih ke tahap ini. Walaubagaimanapun, Tahap Jauhari masih perlu diteruskan.Murid yang melaksanakan aktiviti ini wajar diberikan markah Rakan Pembaca (iaitu 5 markah bagi setiap satu aktiviti). Murid hendaklah menjalankan aktiviti yang boleh menarik minat orang lain membaca dan pelaksanaan aktiviti ini dibimbing oleh guru atau fasilitator untuk turut serta di tempat-tempat aktiviti. Guru-guru juga perlu membuat pengesanan kemajuan aktiviti yang dijalankan murid. Program NILAM mengalakkan murid membaca di mana jua walaupun selepas tamat waktu persekolahan. Walaubagaimanapun, satu masa membaca di Pusat Sumber Sekolah atau di sudut bacaan kelas wajar dimuatkan dalam jadual kelas terutamanya matapelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk menjalankan aktiviti membaca. Ada juga waktu yang diperuntukkan untuk aktiviti PSS yang melibatkan pengajaran kemahiran membaca, contohnya aktiviti untuk Minggu Pusat Sumber, Minggu Bahasa atau mata pelajaran lain. Pelbagai sesi aktiviti bacaan perlu dimuatkan dengan aktiviti seperti Bicara Buku dan Bercerita. Murid meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit semasa waktu perhimpunan mingguan untuk aktiviti membaca seperti membuat ulasan buku. Dalam pelaksanaan Program NILAM, murid membaca sebanyak mungkin buku dan kemudian mencatatnya di dalam Buku Rekod NILAM. Buku-buku yang dimaksudkan ialah buku-buku berbentuk fizikal yang dipinjam dari Pusat Sumber Sekolah, Perpustakaan Awam ataupun yang mereka beli sendiri. Seiring dengan kepesatan teknologi, Program NILAM juga menggalakkan murid membaca buku-buku dalam bentuk digital yang boleh diperolehi dari Pusat Sumber Digital, e-book dan juga CD/DVD. Malah mereka juga boleh memuat turun bahan-bahan bacaan dari internet untuk mereka baca dan simpan sebagai koleksi peribadi mereka. Kepesatan perkembangan teknologi dewasa ini, menggalakkan penghasilan buku-buku berbentuk digital yang boleh ”membacakan” buku kepada pendengar dan boleh disimpan di dalam pemain muzik MP3 dan juga iPod semakin memudahkan generasi zaman ini. Semua ini semakin menolak alasan untuk menyatakan tidak ada masa untuk seseorang itu membaca. Tidaklah menjadi satu kesalahan untuk murid mencatat sinopsis dari buku-buku Komponan Sastera (KOMSAS) yang dibaca ke dalam Buku Rekod NILAM. Guru yang menyemak buku rekod NILAM ini perlulah berhati-hati semasa mengesahkan pembacaan murid dan memastikan butiran yang ditulis oleh murid adalah betul. Ibubapa sendiri boleh mengesahkan pembacaan anak mereka sendiri. UNIT KOMUNIKASI KORPORAT KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA |
0 comments:
Post a Comment