Saturday, June 26, 2010

GURU TIADA MASA UNTUK KELUARGA

Harian Metro bertarikh 21 Jun 2010 – GURU TIADA MASA UNTUK KELUARGA
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Abdul Razak Idris, Banting“ dalam ruangan Surat Kepada Pengarang dalam akhbar Harian Metro bertarikh 21 Jun 2010 – Guru tiada masa untuk keluarga.

Isu yang dibangkitkan oleh Abdul Razak ialah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) menjadi faktor utama pendesak pengetua dan guru besar memperhebatkan usaha untuk mencapai tahap SBT. Guru perlu bekerja setiap hari Sabtu dan Guru tidak punya masa untuk mendidik anak dan masa berharga untuk keluarga.

Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) adalah sekolah yang bukan sahaja mencapai kecemerlangan akademik malahan memberi suasana yang selesa dan teratur serta elemen tanggungjawab terdapat dalam kalangan pihak pengurusan, guru-guru dan murid-murid bagi mencapai aspirasi yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara. Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Kewibawaan pengetua dan guru besar di sekolah terutamanya di SBT selalu diperkatakan. Pelbagai pendapat dan pandangan telah diberikan. Namun terdapat banyak elemen yang berkaitan, seperti peranan persekitaran serta sosio-budaya masyarakat setempat juga memberi impak yang besar dalam perkembangan pendidikan. Sebaliknya jika masing-masing mengetahui dan menginsafi tugas dan tanggungjawab mereka, pasti semua persoalan dapat ditangani dengan berkesan. Dunia pendidikan perlukan anjakan, kita sedang menuju era kecemerlangan ilmu. Kita perlu keluar daripada kepompong yang membatasi cara berfikir kita sekian lama. Matlamat untuk menjadikan pendidikan di negara ini bertaraf dunia harus direalisasikan agar anak-anak kita dapat mengecapi nikmat daripada pendidikan itu sendiri untuk kesejahteraan bangsa dan negara. Sehubungan itu, sedikit pengorbanan daripada pelbagai pihak khususnya warga pendidik diperlukan untuk mencapai matlamat tersebut.

Pengetua dan guru besar adalah orang yang memainkan peranan yang amat penting di sekolah. Mereka pentadbir, pengurus dan pemimpin. Sebagai seorang pentadbir yang melibatkan diri dalam pentadbiran pendidikan, maka pengetua perlu kepada proses kerjasama antara dua orang atau lebih yang berasaskan rasional yang tertentu untuk mencapai tujuan yang telah ditentukan khususnya berhubung dengan pembahagian kerja dan penyelarasan perhubungan untuk melahirkan kecekapan dalam organisasi. Sehubungan itu persefahaman , semangat dan kesedaran yang tinggi amat dituntut terutamanya dalam kalangan warga pendidik supaya tidak berlaku penafian atas hak individu.

Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.8/2005 Pelaksanaan Bekerja Lima Hari Seminggu bertarikh 5 Disember 2005 dan Jabatan Perkhidmatan Awam juga telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2005 yang berkuatkuasa mulai 1 Julai 2005. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.8/2005 telah menjelaskan kedudukan dua hari Sabtu dalam sebulan sebagai hari bekerja. Dalam semua keadaan pihak sekolah perlu berpegang kepada punca kuasa tersebut dan persefahaman antara warga sekolah mungkin memainkan peranan yang lebih berkesan untuk menjana kecemerlangan di institusi masing-masing.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment