Wednesday, April 7, 2010

Ucapan Tetamu Kehormat, Yang Setia Tuan ACP Mohd Shakaruddin bin Che Mood, Ketua Polis Daerah Kajang Di Majlis Hari Ulang Tahun Penubuhan Sekolah Ke 91 SMK Tinggi Kajang

Tarikh: 1 April 2010

Terima kasih Pengerusi majlis.

Assalamualaikum , salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Yang Berbahagia En.Nik Mat bin Nik Man, Pengetua SMK Tinggi Kajang,
Yang Berusaha Barisan penolong kanan
Yang dihormati wakil PIBG, guru-guru dan seterusnya
Murid-murid yang dihormati sekalian.

Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan pengetua kerana sudi menjemput saya hadir dan merasmikan sambutan ulang tahun sekolah kali ke-91 tahun ini.Saya merasa amat berbesar hati kerana diberi ruang untuk bersama-sama dengan warga High School dalam satu majlis yang cukup bermakna buat anda semua.

Sepertimana yang telah diperkatakan oleh tuan pengetua sebentar tadi bahawa menyambut harijadi sekolah adalah sesuatu yang tiada signifikannya kerana sekolah hanyalah bangunan semata-mata.Tetapi hasrat dan aspirasi di sebalik acara sambutan itulah yang mesti di lihat dengan mata hati. Saya percaya sekiranya guru dan murid mampu menterjemahkan aspirasi tersebut melalui perlakuan dan budaya kerja yang positif, tidak mustahil sejarah kegemilangan sekolah ini mampu diulangi.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Tidak kira pekerjaan apa yang disandang oleh seseorang bila dewasa, semuanya bermula dari sejarahnya di sekolah. Seandainya zaman sekolahnya dipenuhi dengan kejayaan tidak kira dalam akademik ataupun sukan selalunya akan menjuruskan kita ke alam pekerjaan yang berprestij dan lumayan ganjarannya. Tetapi sekiranya alam persekolahan anda disia-siakan dengan kes-kes disiplin dan aktiviti yang tidak berfaedah maka laluan hidup masa hadapan menjadi agak sukar dan mencabar. Itulah hukum kehidupan. Bak kata pepatah, berakit-rakit ke hulu berenang renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu Insya Allah bersenang-senanglah kita kemudian. Oleh itu, pesanan saya kepada anak-anak semua, gunakanlah masa anda di sekolah dengan sebaik-baiknya agar hidup anda di masa hadapan lebih terjamin. Sebagai remaja lelaki anda merupakan kumpulan yang paling tinggi risikonya untuk terjebak dengan gejala kurang sihat tambahan pula lokasi sekolah yang berada di tengah-tengah bandar ini membuka laluan mudah untuk anda terjebak kepada aktiviti tidak sihat di luar sana. Kekuatan untuk menangkis segala godaan tersebut terletak dalam diri masing-masing.

Sesungguhnya kamu semua amat bertuah kerana berada dalam jagaan dan kumpulan guru yang cukup komited dan berpengalaman luas dalam bidang kerja masing-masing. Gunalah peluang ini dengan sebaik-baiknya. Anda harus berbangga menjadi warga Kajang High School kerana telah banyak kecemerlangan yang dicapai oleh muridnya di masa lalu dan akan terus dicapai oleh anda semua hari ini dan generasi akan datang.

Usaha kerajaan untuk melahirkan generasi modal insan yang berketrampilan menjadi agenda utama dalam perjuangan warga pendidik tanah air.Tugas ini bukanlah sesuatu yang mudah dilaksanakan kerana ianya merupakan satu proses yang tiada penghujungnya. Tiada indikator kuantitatif yang boleh mengukur ketrampilan individu, jadi kepada warga pendidik sekalian jangan mudah putus asa dalam perjuangan anda. Jangan disebabkan oleh satu insiden kes disiplin merobekkan semangat anda untuk terus memberi sumbangan yang berkualiti. Negara memerlukan guru untuk mendidik generasi yang ada agar menjadi warga negara yang berkualiti global dan mampu bersaing di persada antara bangsa dalam pelbagai aspek ilmu. Selain dari mengajar, guru membawa peranan tersirat yang lebih berat iaitu menjadi ibu bapa kedua, menjadi kaunselor, jurulatih, pembimbing dan penguatkuasa sepanjang tempoh di sekolah.Peranan tersebut akan menjadi mudah untuk dilaksanakan sekiranya pihak ibu bapa, masyarakat dan murid-murid memberi kerjasama yang padu kepada pihak sekolah. Perkongsian sebeginilah yang mampu memartabatkan sekolah sebagai institusi ilmu yang berkesan.

Zaman sekolah merupakan zaman yang paling menyeronokkan dalam hidup seseorang.Di sinilah kita diajar dengan pelbagai bidang ilmu pengetahuan di dalam atau di luar bilik darjah, dan yang paling penting ialah ilmu toleransi antara satu sama lain. Sebagai sebuah negara yang mempun, nilai tolak ansur amat penting dalam amalan hidup seharian. Semangat 1Malaysia yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri tidak harus dipandang enteng kerana tanpa perpaduan kaum dan toleransi kita tidak mampu mencapai keamanan dan keharmonian dalam negara kita hari ini. Saya melihat di sekolah ini, semangat 1Malaysia itu bukanlah sesuatu yang baru kerana muridnya yang berbilang bangsa mampu belajar di bawah satu bumbung dengan bimbingan guru juga dari pelbagai latar belakang secara aman.

Sekali sekala tentunya ada berlaku pergolakan dan pergeseran kecil yang merupakan perkara biasa dalam mana-mana organisasi. Kata orang sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula kita manusia yang berbagai ragam.Isu-isu tersebut biasanya dicetuskan oleh individu yang mungkin sedang menghadapi tekanan atau stress yang tidak dapat dikawal. Jadi dalam usaha menangani stress dalam kehidupan seharian kita mestilah mengambil langkah-langkah pencegahan yang sihat seperti bersukan, melakukan kerja amal, beriadah ataupun mengambil bahagian dalam pertandingan yang dianjurkan di sekolah mahupun agensi luar.Seandainya anda mampu mengisi setiap masa seharian dengan aktiviti yang berfaedah maka tentu sekali dapat menghindarkan anda dari gejala tidak sihat. Sebagai warga sekolah, semua aktiviti tersebut dapat dilakukan di sekolah secara percuma.Jadi manfaatkan kehidupan remaja anda semua kerana peluang sebegini tidak mungkin dinikmati lagi bila sudah dewasa.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum saya mengundurkan diri, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kita semua, lebih-lebih lagi diri saya sendiri, iaitu kita semua membawa peranan penting dalam organisasi tempat kita bekerja atau bersekolah. Sebagai insan yang bertanggungjawab dan amanah seharusnyalah kita membawa dan melaksanakan peranan tersebut dengan penuh integriti dan ikhlas barulah matlamat yang disasarkan dapat dicapai sepenuhnya. Saya mendoakan agar visi High School Terbilang 2010 dapat direalisasikan oleh warga sekolah ini. Berkat kepimpinan Tuan Pengetua dan penolong-penolong kanannya yang berkaliber disokong pula oleh barisan guru yang berpengalaman dan komited, Insya Allah, anak-anak di Kajang High School mampu mencipta kejayaan yang cemerlang. Murid cemerlang, sekolah gemilang, negara terbilang.

Akhir kata dengan lafaz mulia Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Sekolah Ke-91 dan Melancarkan Bulan Akademik Tahun 2010.

Sekian. Wabillahi….

 


 

0 comments:

Post a Comment