Sunday, April 4, 2010

Semua Sekolah Diminta Titik Berat Langkah Pencegahan H1N1

BACHOK, 3 April (Bernama) -- Kementerian Pelajaran hari ini menasihatkan semua sekolah di negara ini terus mengambil langkah pencegahan bagi mengelak penularan wabak H1N1 di sekolah masing-masing.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pihak sekolah sewajarnya mengambil langkah pencegahan sebagaimana arahan yang dikeluarkan ketika penularan wabak itu tahun lepas.

"Arahan itu tetap sama dan saya minta pihak sekolah lihat pekeliling dan arahan yang dikeluar sejak tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Gala Ko-Kurikulum Peringkat Kebangsaan 2010 di Pusat Ko-Kurikulum Kem Tangok, di sini yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kementerian Kesihatan sebelum melaporkan terdapat trend peningkatan kes Influenza A H1N1 di negara ini sejak tiga minggu lepas dengan purata 50 kes positif H1N1 dikesan setiap minggu.

Kluster gejala seakan influenza (ILI) tertinggi dicatat di Sekolah Kebangsaan Selat Bagan Nyior, Pulau Dayang Bunting, Langkawi (48 kes), Sekolah Menengah Teknik Langkawi (43 kes), Purnama Beach Resort, Pulau Pangkor (31 kes) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi Pulau Tuba, Langkawi (30 kes).

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment