Wednesday, April 7, 2010

Ucapan Pengetua Di Majlis Ulang Tahun SMK Tinggi Kajang Ke 91 Pada 1 April 2010

Tarikh: 1 April 2010

Terima kasih Pengerusi Majlis.

Assaalamualaikum, selamat sejahtera dan salam 1Malaysia.

Yang Setia Tuan ACP Mohd Shakaruddin bin Che Mood,
Ketua Polis Daerah Kajang, tetamu kehormat kita pada pagi ini.

Yang Berusaha Barisan Penolong Kanan SMK Tinggi Kajang,
Yang Dihormati Timbalan Yang DiPertua dan AJK PIBG dan guru-guru seterusnya
Murid-murid yang dikasihi sekalian.

Terlebih dahulu saya mewakili seluruh warga SMK Tinggi Kajang, mengalu-alukan kehadiran Tuan OCPD Kajang pada pagi ini. Terima kasih atas kesudian tuan memenuhi jemputan kami untuk merasmikan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Sekolah Menengah Tinggi Kajang ke-91 hari ini. Pada pagi ini juga kita turut melancarkan satu lagi program penting sekolah iaitu Bulan Akademik 2010.
Tanggal 1 April merupakan satu tarikh yang penting dalam lakaran sejarah sekolah kerana pada tarikh inilah Kajang High School ditubuhkan dengan rasminya tahun 1919. Sambutan Ulang tahun sekolah yang diadakan pada tarikh saban tahun sekaligus memisahkan warga High School dengan budaya sambutan April Fool sepertimana yang diperkenalkan oleh masyarakat barat kepada kita.
Tema sambutan pada tahun ini ialah Mengukir Kejayaan, Menjulang Kecemerlangan. Pemilihan tema ini adalah untuk disesuaikan dan dipadankan dengan visi sekolah yang dibuat 5 tahun yang lalu iaitu Kajang High School Terbilang 2010. Tahun ini menjadi penentu dan pengukur kepada usaha dan kegigihan kita, seluruh warga sekolah dalam mencipta kejayaan-kejayaan kecil demi mencapai kejayaan yang cemerlang. Tanggungjawab ini mesti dipikul oleh setiap warga sekolah bermula dari pasukan pentadbir, para guru, pekerja sokongan dan semestinya murid-murid sekalian. Setiap dari kita mestilah mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cekap dan berkesan dalam memastikan impian menjadi kenyataan. Kejayaan kita bukan hanya diukur menerusi pencapaian akademik semata-mata, malah kejayaan boleh digarap melalui pencapaian dalam bidang kokurikulum dan pembentukan sahsiah yang terpuji.
Sambutan harijadi sekolah ini bukanlah sekadar memotong kek semata-mata. Tujuan kami merancang dan mengadakan acara sambutan ini adalah untuk menyuntik semangat bersungguh dalam kalangan murid High School dan juga untuk menguatkankan lagi rasa kecintaan terhadap sekolah ini. Seringkali kita diingatkan dengan sejarah kegemilangan sekolah satu masa dahulu. Begitu ramai tokoh terkenal tanah air dan negarawan yang bermula dari sini. Harapan kami biarlah generasi hari ini mampu mengulangi sejarah tersebut dan bukannya menjadikan era tersebut sebagai memori indah semata-mata.
Apa signifikannya kita menyambut harijadi sekolah yang hanyalah bangunan batu yang kaku dan tidak bernyawa; diketuk ia runtuh, diconteng ia kotor, ditendang ia roboh. Sambutan hari ini ialah bertujuan menghidupkan dan menyemarakkan jiwa sekolah kita. Jiwa sesebuah sekolah dihidupkan oleh penghuninya. Hebat penghuninya maka hebatlah sekolah tersebut dan sebaliknya.
Saya percaya sebahagian besar dari kita pagi ini merasa amat bertuah dan bersyukur kerana menjadi sebahagian dari jiwa Kajang High School kerana sekolah kita mempunyai keunikannya yang tersendiri. Selain dari merupakan antara sekolah yang tertinggi lokasinya kita juga merupakan sekolah yang mempunyai murid lelaki yang paling ramai. Pencapaian dan kejayaan kita terutamanya dalam bidang sukan menjadi buah mulut orang luar. Sekali sekala kita turut mendapat tempias cerita-cerita yang kurang enak seperti kes murid ponteng dan pergaduhan. Itulah asam garam perjuangan warga pendidik di sekolah ini.Namun sepanjang saya menerajui sekolah ini saya amat yakin bahawa warga pendidik di Kajang High School adalah antara yang paling kental semangatnya kerana kami berhadapan dengan kumpulan murid remaja lelaki berbilang kaum yang pastinya mengundang seribu satu kerenah. Kekuatan pasukan kerja dalam kalangan guru di sini menjadi faktor utama dalam kejayaan kami mengekalkan aura High School di daerah Hulu Langat ini. Contohnya sepertimana yang dapat kita sama-sama alami pada 27 Mac yang lalu di mana Temasya sukan telah berlangsung dengan meriahnya hasil gabung usaha guru dan murid seluruhnya.
Justeru, saya ingin menyeru kepada semua murid agar memberi kerjasama yang padu kepada semua guru yang ingin membantu anda semua menjadi insan yang berguna dan mulia di masa hadapan. Ciptalah kejayaan sebanyak mungkin selama tempoh anda di sini. Kejayaan itulah yang boleh melonjakkan motivasi diri anda dalam menghadapi perjuangan yang lebih mencabar.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sepanjang bulan April, mengambil sempena Sambutan Ulangtahun sekolah ini, setiap unit kecil iaitu Unit Kurikulum, Unit Kokurikulum, Unit Keceriaan dan Unit Hal Ehwal Murid telah merancang berbagai aktiviti menarik untuk disertai oleh semua murid. Jadi, saya mengharapkan setiap murid memberikan sokongan dengan mengambil bahagian dalam mana-mana acara atau aktiviti yang dipertandingkan. Kalah menang bukan taruhannya, yang penting ialah semangat daya saing Kajang High School yang mesti diteguhkan.
Akhir kata dari saya, semoga sambutan hari ini mampu mencetuskan semangat baru dalam diri setiap warga sekolah untuk membuat anjakan paradigm bagi mencipta kejayaan untuk diri masing-masing sekaligus menyumbang kejayaan tersebut kepada sekolah dan akhirnya merealisasikan visi sekolah High School terbilang 2010.
Sekian.Wassalam.

0 comments:

Post a Comment