(Dipetik dari nklpunya.blogspot.com)
Dari pemerhatian dan pengalaman, ramai murid lemah dalam pelajaran atau tidak dapat mengekalkan kecemerlangan akademik kerana tidak memberikan tumpuan kepada pengajaran guru. Guru mengajar di hadapan, mereka bercakap sesama mereka di belakang atau menyiapkan latihan bukan bagi mata pelajaran yang sedang diajar oleh guru di dalam kelas atau berbincang sesama mereka bagi latihan yang sudah pun diajar oleh guru atau tertarik dengan perlakuan yang berlaku di luar bilik darjah.
Terdapat sebilangan besar murid dari kelas yang baik yang mungkin menganggap diri mereka sudah cukup baik atau telah pun mengikuti tajuk yang sedang diajarkan itu dari kelas tusyen di luar sekolah dan menjadi besar kepala dengan tidak mempedulikan guru yang sedang bersungguh-sungguh mengajar dalam kelas atau mereka membuat kerja / latihan yang tidak berkaitan langsung dengan pelajaran yang sedang diajar oleh guru dalam kelas atau lebih teruknya bercakap dan membuat bising sesama mereka sehingga mengganggu tumpuan guru yang bersungguh-sungguh sedang mengajar itu. Ada yang masih berdegil dan ambil tidak pusing walaupun telah ditegur oleh guru, mungkin kerana besar kepalanya telah mengatasi rasionalnya untuk menghormati hak guru yang sedang melaksanakan amanah mengajar dan rakan-rakan lain yang mahu memberikan tumpuan kepada pengajaran tersebut.
Mungkin golongan murid-murid yang dikatakan baik ini menganggap sekolah hanya sebagai kuda tunggangan rasmi untuk mereka mendaftar mengambil peperiksaan awam yang akan diduduki pada hujung tahun (sekolah dijadikan kuda tunggangan untuk membolehkan mereka memohon melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan lebih mudah) tetapi mereka tidak berminat mengikuti pengajaran yang dilakukan guru sekolah, sebaliknya lebih mempercayai atau mengikuti dengan bersungguh-sungguh pengajaran guru tusyen mereka. Bukan kerana guru tusyen mereka itu lebih baik atau lebih handal kerana hampir keseluruhan guru tusyen ini adalah juga guru-guru sekolah, dari sekolah lain, malah guru dari sekolah mereka sendiri. Puncanya mungkin kerana ibu bapa mereka telah membayar dengan wang untuk mengikuti tusyen itu, bukannya RM10, RM20 tetapi RM100, RM200! Jadi mungkin, supaya tidak merasa kerugian atau kiasu, mereka memberi tumpuan dan bersungguh-sungguh mengikuti kelas tusyen mereka. Di sekolah mereka tidak perlu membayar yuran pengajian selain dari yuran-yuran khas, maka murid-murid merasakan tiada kerugian kalau tidak mengikuti pelajaran dengan bersungguh-sungguh. Mungkin juga dalam kelas tusyen, mereka takut dipecat dari mengikuti kelas tusyen kerana kuasa memecat berada dalam tangan guru tusyen mereka dan ini pastinya akan mengaibkan mereka dalam kalangan rakan-rakan tusyennya.
Mungkin pihak berkuasa boleh memperkenalkan semula yuran pengajian bulanan bagi murid-murid yang belajar di sekolah seperti pada tahun 60an, supaya murid-murid akan menggunakan masa belajar di sekolah dengan sebaiknya, berbaloi dengan yuran bulanan yang dibayar oleh ibu bapa mereka sama seperti mereka membayar untuk mengikuti kelas tusyen.
Mungkin perlakuan yang ditunjukkan oleh murid-murid yang menghadiri kelas tusyen percuma boleh dijadikan sampel membuktikan hipothesis ini. Murid-murid ini juga tidak berminat dan tidak bersungguh-sungguh mengikuti kelas tusyen percuma yang dianjurkan kerana tiada rasa kerugian kerana tidak perlu membayar yuran. Mungkin kerana ini juga kelas-kelas tambahan percuma yang sering dianjurkan oleh sekolah atau oleh guru-guru secara peribadi tidak mendapat sambutan murid-murid. Mungkin ada antara mereka sedar PIBG atau badan-badan tertentu yang membayarkan yuran mereka tetapi wang itu tidak datang terus dari kocek ibubapa mereka. Jadi apa ruginya!
Mungkin ada pihak mengatakan pengajaran guru sekolah tidak menarik maka murid tidak berminat dan tidak mahu hadir dalam kelas tambahan percuma ini, tetapi sebaliknya apakah menariknya pengajaran guru tusyen yang sebahagian besarnya adalah guru-guru sekolah juga dan menggunakan kaedah pengajaran yang sama?
Tidak dinafikan tusyen telah membantu meningkatkan prestasi akademik murid-murid. Ini kerana tumpuan dan komitmen yang diberikan oleh murid-murid dan juga guru-guru dalam kelas tusyen. Tumpuan ini lahir dari perasaan tidak mahu mengalami kerugian terhadap yuran tusyen yang telah dibayar. Sekiranya tumpuan yang sama diberikan semasa pengajaran guru di sekolah dan percuma pula, bukankah ianya juga akan membawa kejayaan! Tetapi mungkin sudah menjadi tabiat manusia tidak menghargai perkara yang diperolehi secara percuma kerana ianya tidak merugikan.
1 comments:
Betul tu.. Tak menghargai ilmu yang orang nak free ni...
Post a Comment