Friday, August 27, 2010

TITAH
SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG AL-WATHIQU BILLAH TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN IBNI AL-MARHUM SULTAN MAHMUD AL-MUKTAFI BILLAH SHAH 
SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN NEGARA KALI KE-53 
TAHUN 2010

Bismillahir Rahmannir Rahim, Al-hamdulillahi Rabbil „Alamin, Wabihi Nasta‟in.
Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan salam sejahtera. 
 
1. Beta merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata‟ala atas limpah dan kurnia-Nya, dapat Beta dan seluruh rakyat menyambut dan meraikan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara Kali Ke-53. Sesungguhnya, ulang tahun kemerdekaan negara pada tahun ini begitu besar maknanya kepada seluruh rakyat Malaysia. Kita telah berjaya mentadbir negara yang tercinta ini dengan baik mengikut acuan dan kemampuan kita sendiri tanpa bergantung kepada negara luar.
 
2. Oleh itu, besarlah harapan Beta agar seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga pendidik dan murid dapat menghayati dan menginsafi erti kemerdekaan yang telah dinikmati lebih dari setengah dekad. Dengan ini, Beta berharap agar kemerdekaan ini dapat diisi dengan segala rancangan dan program pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan demi kecemerlangan bangsa dan negara yang tercinta. 
 
3. Sukacita Beta mengingatkan bahawa usaha-usaha mempertahankan kemerdekaan negara yang tercinta ini merupakan cabaran utama kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya murid-murid supaya dapat menjadi generasi pewaris yang berketerampilan dan mempunyai jati diri untuk menepis masalah kebejatan sosial. Beta percaya bahawa kesinambungan kecemerlangan bangsa dapat direalisasikan oleh generasi pada hari ini hasil daripada sahsiah yang terpuji.
 
4. Sehubungan dengan itu, bersempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara Yang Ke-53, Beta menyeru warga pendidik dan murid agar dapat menghayati makna yang terkandung dalam Rukunegara. Sesungguhnya, prinsip-prinsip Rukunegara merupakan asas penting perpaduan yang mesti menjadi pegangan dalam memastikan kelangsungan kemakmuran dan keharmonian hidup di negara yang merdeka dan tercinta ini. 
 
5. Oleh hal yang demikian, Beta amat berharap agar murid-murid hari ini mampu menjadi harapan bangsa dan negara, seterusnya dapat menghindarkan perkara-perkara yang boleh mengganggu gugat kemerdekaan dan keamanan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, bahasa, agama dan budaya. Sehubungan dengan itu, kecemerlangan murid-murid dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah perlu dititikberatkan dalam usaha melahirkan warganegara yang mampu mendukung aspirasi negara.

6. Pemahaman terhadap ciri-ciri pembinaan negara bangsa Malaysia yang telah dipersetujui oleh generasi terdahulu hendaklah difahami dan diteladani dengan sebaik-baiknya oleh seluruh rakyat, khususnya murid-murid. Sesungguhnya, pemahaman terhadap ciri-ciri pembinaan negara bangsa Malaysia seperti yang dilaung-laungkan oleh kerajaan melalui konsep 1Malaysia hendaklah diperteguh dan menjadi asas perpaduan dalam kalangan generasi kini. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
 
7. Oleh hal yang demikian, Beta berharap dan menyeru seluruh warga pendidik supaya dapat mendidik dan membimbing murid-murid untuk menghayati dan memahami konsep 1Malaysia. Konsep ini selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukunegara yang memberikan penekanan ke arah perpaduan rakyat yang lebih erat tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan budaya.

8. Beta juga bertitah agar seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga pendidik dan murid supaya bersyukur dengan nikmat kemerdekaan negara yang telah dikecapi selama 53 tahun ini. Sebenarnya, kejayaan seluruh rakyat dalam memastikan kemerdekaan dan keharmonian negara selama 53 tahun berkat daripada semangat perpaduan. Oleh itu, semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan murid semestinya terus disubur dan diperkasa menerusi proses pengajaran dan pembelajaran serta kegiatan kokurikulum di sekolah-sekolah.

9. Dalam hal ini, semangat patriotik hendaklah dimanifestasikan menerusi kesungguhan dalam menuntut ilmu pengetahuan. Oleh hal yang demikian, Beta berharap agar murid-murid berusaha dengan penuh gigih untuk menguasai pelbagai disiplin ilmu, terutama ilmu dalam bidang sains dan teknologi selari dengan hasrat negara untuk menjadi negara maju. Beta percaya murid-murid yang berilmu pengetahuan akan mempunyai fikiran yang luas, kreatif, inovatif, dan rasional. Modal insan minda kelas pertama yang kita lahirkan ini tentunya menjadi aset berguna kepada negara kerana murid-murid yang memiliki ciri-ciri tersebut dapat menjana kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
 
10. Penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai disiplin membolehkan generasi pewaris bangsa mempertahankan negara daripada penjajahan bentuk baharu seperti penjajahan minda, budaya dan ekonomi. Beta yakin kecemerlangan dalam aspek pendidikan dapat melonjakkan bangsa kita menjadi lebih berdaya saing dan dihormati di peringkat global. Oleh itu, segala dasar pendidikan yang dirangka perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen sesuai dengan hasrat menjadikan negara kita sebagai pusat penyebaran ilmu. 
 
11. Selain itu, Beta menyeru agar warga pendidik dan murid-murid mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Sesungguhnya, amalan berbudi bahasa dalam kalangan rakyat Malaysia menjadi elemen penting dalam usaha melahirkan modal insan yang cemerlang. Keharmonian hidup yang berteraskan nilai berbudi bahasa juga menjadi faktor untuk menjamin negara ini muncul sebagai sebuah negara yang tersohor. Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa yang berjaya ialah bangsa yang mempunyai peradaban yang tinggi dan bangsa yang mundur ialah bangsa yang tidak memiliki akhlak yang terpuji.

12. Beta juga merakamkan rasa bangga atas daya usaha kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia kerana kejayaan melaksanakan sub-Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang memberikan penekanan kepada kecemerlangan pendidikan untuk semua peringkat. Kecemerlangan ini dapat dicapai melalui usaha memperluas akses kepada pendidikan yang bermutu dan berkemampuan secara konsisten. Oleh itu, Beta menyeru warga pendidik dan murid agar menggunakan semua peluang yang ada untuk mencipta kejayaan yang gemilang.
 
13. Kecemerlangan sesuatu bangsa ialah hasil daripada rakyatnya yang berilmu. Beta ingin menyeru kepada rakyat khususnya murid-murid supaya menuntut ilmu dalam usaha mempertingkat potensi diri untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Impaknya, negara akan mempunyai bangsa yang mempunyai ketinggian ilmu dan dihormati oleh rakan dan seteru. Inilah kelebihan ilmu, selaras dengan sabda Nabi Muhammad Sallallahu ‟Alaihi Wasallam yang bermaksud “Menuntut ilmu itu wajib bagi lelaki dan perempuan”. Warga pendidik dan murid-murid sekalian,
 
14. Pada hari ini, pelbagai musibah melanda dunia akibat daripada kesilapan yang dilakukan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Alhamdulillah, negara kita terselamat dan terpelihara daripada bencana alam seperti ribut taufan, banjir besar dan gempa bumi. Begitu juga halnya dengan kemelesetan ekonomi yang melanda, dapat kita tangani dengan baik berkat daripada dasar ekonomi negara yang mantap. Tempias daripada kegawatan ekonomi tidak melemahkan semangat kita untuk terus memberikan keutamaan dalam memajukan bidang pendidikan di negara kita atas kesedaran bahawa masyarakat yang berilmulah yang mampu memajukan dan mengharumkan nama negara. Justeru, Beta menyeru semua pendidik dan murid agar memainkan peranan masing-masing dalam usaha memartabatkan negara di persada dunia. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu yang berbunyi kuat ketam kerana sepitnya, kuat manusia kerana ilmunya.

15. Oleh itu, besarlah harapan Beta pada saat seluruh warga Malaysia menyambut dan meraikan ulang tahun kemerdekaan ini, warga pendidik dan murid-murid dapat bersama-sama beriltizam untuk melaksanakan usaha-usaha ke arah memastikan negara kita terus kekal merdeka. Kejituan semangat dan iltizam dalam kalangan rakyat perlu dilestarikan. Beta yakin sekiranya kita sentiasa mengatur langkah sederap, seia dan sekata maka anasir luar yang sentiasa mengintai peluang untuk mempengaruhi rakyat dengan pelbagai taktik dan strategi yang memesong pemikiran rakyat dapat ditangkis. Oleh itu, tema ulang tahun kemerdekaan pada tahun ini, iaitu “1Malaysia: Menjana Transformasi” hendaklah dihayati supaya menjadi satu matlamat yang lebih realistik dan holistik. Dalam hal ini, Beta menyeru supaya kita bersama-sama sentiasa bersedia membuat anjakan paradigma ke arah kebaikan. 
 
Akhir titah, Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia Yang Ke-53. Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

0 comments:

Post a Comment