Tuesday, August 17, 2010

KPM Jawab Lagi 'Tohmahan' Terhadap Guru Cemerlang 'Percuma'

Berita Harian bertarikh 09 Ogos 2010 – JEMAAH NAZIR WAJAR SEMAK GURU CEMERLANG



Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Bekas Guru, dalam ruangan Surat Kepada Pengarang akhbar Berita Harian bertarikh 09 Ogos 2010 – Jemaah Nazir wajar semak guru cemerlang”.
 
Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) merupakan bahagian di KPM yang diamanahkan untuk mentadbir urus hal berkaitan penilaian calon guru cemerlang dan pemantauan guru cemerlang yang dilantik. Sepanjang JNJK diberikan tanggungjawab itu, tiada seorang guru pun yang terlepas daripada penilaian sebelum dilantik sebagai guru cemerlang.
 
Dakwaan bahawa sesetengah guru memperoleh markah begitu tinggi dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) asalkan menjalin hubungan yang baik dengan penilai adalah tidak tepat dan berasaskan andaian semata-mata.
 
Selain NPT, aspek-aspek lain yang dinilai oleh pihak JNJK terhadap calon guru cemerlang ialah keterampilan profesional, pengurusan kurikulum, peranan dalam aktiviti bukan akademik, keperibadian dan penglibatan guru itu dalam bidang kepakarannya di peringkat antarabangsa, negara, daerah dan sekolah.
 
Dalam melaksanakan tanggungjawab menilai seseorang calon guru cemerlang, JNJK sentiasa menegaskan agar setiap nazir yang terlibat sepanjang proses penilaian melaksanakan tugas itu secara beretika, bersikap profesional dan memberi keutamaan kepada kualiti kerja calon. Nazir penilai juga akan menemu bual pengetua atau guru besar, guru-guru penolong kanan, ketua panitia, guru-guru dan murid-murid bagi mengesahkan kepakaran calon guru cemerlang.
 
Data kekosongan kuota guru cemerlang gred DG44 di sekolah rendah dan menengah yang diberikan juga tidak tepat. Kuota kekosongan seperti yang diiklankan pada 25 Jun 2010 bagi gred DG44 sekolah rendah adalah 1531 manakala di sekolah menengah pula ialah 476.
 
Saranan Bekas Guru supaya kuota guru cemerlang gred DG44 lebih banyak di sekolah rendah berbanding di sekolah menengah adalah tidak bersesuaian kerana pada masa sekarang bilangan guru DG41 adalah lebih ramai di sekolah menengah. Data kuota terkini guru cemerlang DG44 di sekolah menengah ialah 5379 dan di sekolah rendah pula ialah 7137.
 
KPM juga menafikan dakwaan guru cemerlang kerap kali menghadiri mesyuarat bagi mempersiapkan diri untuk menyediakan dokumentasi dan kajian. Mereka menghadiri mesyuarat adalah untuk meningkatkan tahap profesionalisme serta merancang program dan aktiviti membantu guru-guru lain dalam aspek pengajaran dan pembelajaran.
 
JNJK amat prhatin dengan isu-isu berkaitan kualiti guru cemerlang yang sedia ada. Pengetua dan guru besar turut bertanggungjawab untuk memastikan guru cemerlang yang telah dilantik di bawah seliaan mereka berupaya mengekalkan kecemerlangan selaras dengan bidang dan kepakaran mata pelajaran guru-guru berkenaan.
 
 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment