Monday, March 15, 2010

255 Calon SPM Raih Gred Tertinggi A+

PUTRAJAYA 11 Mac - Seramai 7,987 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 memperoleh gred cemerlang (A+, A, dan/atau A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom (gambar) berkata, daripada jumlah itu, seramai 255 calon mendapat gred Cemerlang Tertinggi A+ iaitu 214 calon dari sekolah Kementerian Pelajaran manakala 41 calon lagi merupakan calon persendirian, swasta dan sekolah-sekolah tajaan agensi.

"Gred Cemerlang Tertinggi (A+) bagi penggredan baru yang mula diperkenalkan tahun lalu adalah lebih tinggi daripada gred 1A, bagi memperincikan lagi kecemerlangan seseorang calon.

"Bagaimanapun seramai 364,046 daripada 465,853 calon yang mendaftar layak mendapat sijil dan daripada jumlah ini, 199,155 calon lulus semua mata pelajaran," katanya sewaktu mengumumkan analisis keputusan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 di sini hari ini.

Sementara itu, Alimuddin berkata, pada keseluruhannya pencapaian calon kali ini amat membanggakan dan melebihi pencapaian tahun sebelumnya.

"Walaupun peratusan bilangan calon yang layak mendapat sijil adalah sama dengan tahun lepas iaitu 90.8 peratus namun terdapat pertambahan jumlah calon sebanyak 16,603," katanya.

Dalam pada itu, Alimuddin berkata, pencapaian calon mengikut lokasi bandar dan luar bandar juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

"Seramai 5,942 calon di bandar dan 1,243 calon dari luar bandar cemerlang dalam semua mata pelajaran berbanding 4,750 dan 989 calon pada tahun lalu," katanya.

Sementara itu, di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, seramai 309 pelajar berjaya memperolehi gred cemerlang A dalam semua mata pelajaran yang diambil berbanding 259 pelajar pada 2008.

"Seramai 12 pelajar berjaya mencapai gred cemerlang tertinggi A+ bagi semua mata pelajaran. Sebanyak 19 sekolah mencatatkan kelulusan 100 peratus manakala 33 sekolah mencatatkan keputusan 90 hingga 99 peratus," katanya selepas meraikan 12 pelajar itu.

Di KELANTAN, Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Ghazali Abdul Rahman mengumumkan negeri itu mencatat keputusan SPM terbaik untuk tempoh lima tahun dengan kelulusan keseluruhan meningkat kepada 94.02 peratus.

Katanya, sebanyak 18 buah sekolah mencapai 100 peratus kelulusan am dan keseluruhannya sebanyak 74 buah sekolah mengatasi peratus kelulusan negeri.

Di NEGERI SEMBILAN, berlaku peningkatan pencapaian calon SPM dengan catatan Gred Purata Negeri (GPN) pada kadar 5.22 berbanding 5.38 pada tahun lalu.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Jamali Salam berkata, seramai 16,087 iaitu 90.9 peratus daripada 17,729 calon yang menduduki SPM pada tahun lalu layak mendapat sijil.

Di KEDAH, Pengarah Pelajaran negeri, Shahidan Abdul Rahman berkata, seramai sembilan daripada 30,726 calon SPM sekolah kerajaan berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Katanya, 408 orang (1.33 peratus) calon pula berjaya memperoleh gred cemerlang A+, A, atau A- dalam semua matapelajaran yang diambil.

Lain pula, di SABAH apabila pencapaian SPM negeri itu menurun 0.46 peratus kepada 94.39 peratus berbanding 94.85 peratus pada tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Maimunah Suhaibul berkata, walaupun berlaku penurunan, pencapaian itu melebihi sasaran di peringkat kebangsaan iaitu 90.8 peratus.

Di PAHANG, keputusan SPM negeri itu menunjukkan jurang pencapaian sekolah bandar dengan luar bandar mengikut nilai Gred Purata Sekolah (GPS) berjaya dirapatkan.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, berdasarkan pencapaian SPM 2009, GPS bagi sekolah bandar ialah 4.58 sementara sekolah luar bandar pula ialah 5.33, berbanding 4.71 dan 5.54 pada SPM 2008.

Di PERLIS, Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat mengumumkan negeri itu mencatatkan keputusan cemerlang dalam keputusan SPM termasuk peningkatan ketara dalam kelulusan di sekolah-sekolah luar bandar.

Katanya, sekolah luar bandar seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Jaafar Hassan menunjukkan peningkatan peratus kelulusan keseluruhan iaitu 5.36 peratus, SMK Padang Besar Utara (2.0 peratus) dan SMK Abi sebanyak 0.34 peratus berbanding 2008.

Di TERENGGANU, negeri itu terus mencatatkan peningkatan apabila GPN 2009 mencatatkan pencapaian 5.08 berbanding 5.27 pada 2008.

Pengarah Pelajaran negeri, Ariffin Embong berkata, GPN itu juga mengatasi pencapaian pada peringkat nasional iaitu 5.34.

Sementara itu, di JOHOR , seramai 1,010 daripada 55,371 calon sekolah kerajaan dan persendirian di negeri itu lulus cemerlang dengan memperoleh gred A+, A dan A-.

Pengarah Pelajaran negeri, Sufa'at Tumin berkata, bilangan calon cemerlang meningkat sebanyak 227 orang (0.21 peratus) berbanding 783 calon (1.71 peratus) pada 2008.

Di SARAWAK, seramai sembilan calon SPM mencapai keputusan berprestasi cemerlang tertinggi dengan mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran negeri, Dr. Julaihi Bujang berkata, dua pelajar memperoleh 12A+, dua lagi mendapat 11A+, tiga pelajar 10A+ manakala dua pelajar 9A+.

Di KUALA LUMPUR, Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Adenan Deraman mengumumkan GPN tahun ini adalah pada kadar 4.92 berbanding 5.12 tahun lalu.

Katanya, 21 calon berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi, A+ dan 648 calon pula memperoleh gred cemerlang (A+,A,A-) dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Di SELANGOR, keputusan calon SPM negeri itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.57 peratus apabila seramai 57,117 calon berjaya mendapat sijil berbanding 52,656 pada tahun sebelumnya.

Pengarah Pelajaran negeri, Sulaiman Wak berkata, kualiti pencapaian calon mendapat keputusan cemerlang juga bertambah apabila GPN dalam peperiksaan itu ialah 5.07 berbanding 5.29 tahun sebelumnya.

Di PERAK, seramai 718 daripada 39,215 calon SPM sekolah kerajaan mencatat gred cemerlang iaitu A+, A atau A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd. Radzi Abd. Jabar berkata, daripada jumlah itu, seramai 15 calon mendapat gred A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Di PULAU PINANG, Pengarah Pelajaran Negeri Ibrahim Ahmad berkata, seramai 26 pelajar memperoleh A+ atau gred purata kumulatif -0.00, manakala 717 pelajar mendapat kombinasi A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diambil.

"Pencapaian calon sekolah bantuan penuh kerajaan adalah membanggakan dan seramai 17,373 calon daripada 20,042 atau 87.71 peratus calon layak mendapat sijil iaitu sekurang-kurangnya lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu," katanya.

0 comments:

Post a Comment